Universiti Malaysia Pahang (UMP) Food Bank Siswa Program Launching

Kuantan, 16 Oktober – Inisiatif Food Bank Siswa dalam menyalurkan bantuan lebihan makanan kepada mahasiswa mendapat sambutan baik dalam usaha membantu meringankan bebanan kos sara hidup yang ditanggung oleh mahasiswa dalam dan luar kampus. Bagi pelaksanaan program ini, UMP menggunakan konsep Food Pantry yang digerakkan oleh Sukarelawan UMP Campus Pantry.

Food Bank Siswa UMP dilancarkan hari ini oleh Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersempena Majlis Wacana Bersama Menteri dan Pelancaran Food Bank Siswa UMP hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin, Ahli Lembaga Pengarah UMP, Prof. Dato Dr. Rosli Mohd. Yunus dan Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Pengurusan dan Kepenggunaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rostam Affendi Dato Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia, Abd. Waha Long.

Menurut Datuk Seri Saifuddin, Kementerian melalui Yayasan Food Bank Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menghubungkan pihak industri yang terlibat bukan sahaja pasaraya malah pengeluar produk makanan, restoran dan hotel dengan penggerak yang terlibat dalam membantu menyalurkan bantuan makanan kepada pihak Universiti.

“Inisiatif Food Bank Siswa ini berkonsepkan “Daripada Mahasiswa kepada Mahasiswa” yang mana kita mengalu-alukan pelajar yang ingin terlibat dalam menjayakan Food Bank Siswa ini terutamanya dari Persatuan-Persatuan Pelajar untuk sama-sama membantu golongan pelajar yang memerlukan,” katanya.

Program ini telah dilancarkan di 17 buah IPTA dan UMP merupakan universiti ke-18 yang mempunyai Food Bank. Sehingga kini sebanyak 6,570 pelajar termasuk 1400 di UMP telah menerima manfaat daripada program ini.

Pihaknya juga berbesar hati dengan penglibatan Tunas Manja Group, 99 Speedmart Sdn. Bhd., Adabi Kuantan Distribution Sdn. Bhd., Palma Unggul Enterprise, Hock Ho Hiap Kee Oil Mill Sdn. Bhd., Nurfirman Sdn. Bhd., Nirwana Group, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Legasi Z Sufi Marketing dan Syarikat Gean Ming Sdn. Bhd. sebagai rakan penaja bagi program ini.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin berkata, dalam menjayakan usaha ini, Portal UMP Campus Pantry turut dibangunkan sepenuhnya oleh pelajar sendiri bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung UMP ‘Campus Pantry’. Ianya bukan sahaja memudahkan orang perseorangan atau alumni untuk menyumbang iaitu dalam bentuk wang ringgit mahupun barangan makanan. Sehingga kini seramai 1,400 orang pelajar B40 yang telah menerima manfaat daripada ‘Campus Pantry‘ ini untuk mengurangkan kos sara hidup yang dihadapi oleh mereka terutamanya di penghujung semester.

“Sejak beroperasinya UMP ‘Campus Pantry’ pelbagai program telah dilaksanakan antaranya jualan amal yang mana barangan baharu atau terpakai yang masih elok dijual dengan harga serendah RM1 dan hasil jualan tersebut disumbangkan kepada ‘Campus Pantry’. Potongan Gaji bagi staf UMP pula sebagai galakan kepada staf bagi potongan gaji sebagai sembangan melalui Tabung MyGift atau Yayasan UMP,” katanya.

Begitu juga dengan inisiatif Food For All iaitu makanan percuma di masjid disediakan pada setiap Isnin hingga Jumaat (pagi) dan setiap hari Isnin dan Khamis untuk berbuka puasa (iftar jamaie) di masjid UMP. Bukan itu sahaja inisiatif Projek Kongsi Rezeki memberi peluang pelajar mendapatkan makanan tengahari dengan harga serendah RM1.

KPDNHEP melalui Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak untuk ikut serta bersama program Food Bank Malaysia sebagai usaha Kementerian menyelamatkan lebihan makanan dan membantu golongan yang memerlukan. KPDNHEP dan YFBM percaya semangat kesukarelawanan yang tinggi dapat dibentuk menerusi program ini dan berharap inisiatif ini dapat diperluaskan ke 123 lokasi lain termasuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Kolej Universiti, Maktab Perguruan dan Politeknik pada masa akan datang.

Sumber : Universiti Malaysia Pahang
Share to others.
Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram