Universiti Malaysia Sabah (UMS) Food Bank Siswa Program Launching

ISNIN, 13 MEI – Seramai 433 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima bantuan Food Bank Siswa dan jumlah itu akan terus bertambah dari semasa ke semasa, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Beliau berkata, kesemua pelajar berkenaan adalah mahasiswa dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Program ini amat menggalakkan kerana ia bukan saja membantu meringankan kos sara hidup rakyat tetapi juga sekali gus mengurangkan pembaziran makanan. “Sehingga kini 3,082 pelajar di sembilan universiti awam di seluruh negara menerima manfaat daripada program Food Bank Siswa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Food Bank Siswa di UMS pada Jumaat.

Datuk Seri Saifuddin berkata, program yang berkonsepkan daripada pelajar kepada pelajar ini amat mengalu-alukan kerjasama dan inisiatif Persatuan-Persatuan Pelajar untuk sama-sama membantu pelajar yang memerlukan.

“Untuk permulaan, syarikat GCH Retail Sdn Bhd (Giant Hypermarket), CKS Supermarket dan Adabi akan menjadi penyumbang utama bagi program berkenaan.

“Manakala rakan strategik program ini bagi UMS adalah Food Aid Foundation yang digerakkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dan Sukarelawan Pelajar yang menggunakan konsep ‘Food Pantry’ dan ‘Central Kitchen’,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini sembilan universiti awam yang melaksanakan program itu, antaranya kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang; Kampus Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Universiti Malaya (UM) dan yang terbaharu adalah UMS.

“Kita menyasarkan 20,000 mahasiswa dari keluarga yang kurang berkemampuan daripada 20 universiti awam sehingga hujung tahun ini dan jumlah penerima di setiap universiti berkenaan adalah tidak sama,” tambah Datuk Seri Saifuddin.

Hadir sama pada program tersebut, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk KY Mustafa; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Datuk Dr Ismail Ali; dan Dekan Fakulti Makanan dan Sains Pemakanan, Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani.

Sumber: Universiti Sabah
Share to others
Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram