Universiti Teknologi Malaysia Skudai (UTM) Food Bank Siswa Program Launching

JOHOR BAHRU, 15 Apr. — Ketua Setiausaha Negara, Ybhg Datuk Seri Dr Ismail bin Haji Bakar telah mengadakan lawatan kerjanya ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Johor Bahru hari ini dan telah berbesar hati untuk merasmikan Food Bank Siswa UTM.

Food Bank Siswa merupakan susulan dari pelaksanaan Food Bank Malaysia dan kerajaan telah meluluskan peruntukan RM3 juta untuk diperluaskan ke kampus universiti awam. Sempena lawatan kerja tersebut, Datuk Seri Dr. Ismail turut melawat makmal dan pameran produk penyelidikan di Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC), pameran Digital Campus dan merasmikan Data Centre UTM di Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi (CICT).

AMTEC merupakan sebuah Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCoE) di bawah UTM yang banyak menjalankan projek mega untuk membantu menyelesaikan permasalahan komuniti melalui penyelidikan seperti projek loji nyahgaram yang telah mengakhiri beban 3,000 penduduk Kampung Pantai Senok yang berdepan masalah mendapat bekalan air bersih.

Projek ini adalah selaras dengan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik baru-baru ini.

Objektif SULAM yang merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah untuk membolehkan mahasiswa menyumbang kepada komuniti umum melalui pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di bilik kuliah atau makmal dan diaplikasikan bagi membantu menyelesaikan masalah setempat.

Lawatan kerja ini menunjukkan kementerian memberi sokongan penuh terhadap usaha UTM untuk mendekatkan universiti kepada masyarakat dan berkongsi kepakaran penyelidikan untuk membantu menyelesaikan permasalahan dalam komuniti.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian KPDNHEP, YBhg. Datuk Muez Abd Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, YBhg. Dato’ Saiful Anuar bin Lebai Hussen.

Selain pelaksanaan Food Bank, UTM juga telah menjalankan pelbagai langkah bagi membantu meringankan beban mahasiswa terutamanya yang terdiri daripada golongan B40, antaranya pemberian Biasiswa Endowmen, Because We Care Chancellor’s Fund (BWCCF), Suspended Meal, ‘almari kasih sayang’ dan bantuan zakat di bawah Pusat Islam.

BWCCF, sebagai contoh telah dilancarkan sejak dari 2016 di mana bantuan disalurkan melalui pemberian buku kupon bernilai RM300.00 kepada setiap pelajar yang berjaya melalui tapisan temubual,” kata beliau.

Penubuhan tabung amanah BWCCF ini telah diilhamkan oleh Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Selain itu, UTM juga menitikberatkan inisiatif dari fakulti/sekolah/Pusat Tanggungjawab di bawah UTM sendiri dalam membantu kelangsungan hidup (survival) mahasiswa dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar ini.

Menerusi inisiatif UTMPrihatin, pelbagai program pemberian makanan percuma kepada pelajar telah dilaksanakan secara berkala oleh fakulti/sekolah/Pusat Tanggungjawab ini.

Program Suspended Meal pula menggunakan konsep makanan telah dibayar oleh penderma di kafeteria di mana pelajar boleh mengambil pelekat bermagnet sebagai ganti bayaran tunai manakala ‘Almari kasih sayang’ ialah sebuah ruang khas yang diletakkan pelbagai makanan yang boleh diambil oleh pelajar pada bila-bila masa sahaja.

Sumber: Universiti Teknologi Malaysia
Share to others
Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram