Pembelian panik berakhir di tapak pelupusan sampah

SERING kali kita mendengar rungutan orang ramai terhadap kesukaran mendapatkan makanan seperti roti, air mineral, beras dan telur sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Apatah tidaknya, setiap kali pengumuman kerajaan melaksanakan atau mengaktifkan semula PKP di kawasan tertentu, pastinya tercetus fenomena ‘pembelian panik’ di pasar raya dan kedai runcit.

Maka panjanglah barisan orang beratur di kaunter pembayaran malah di luar pintu masuk lagi. Apatah lagi dengan keperluan mengambil suhu badan dan mengimbas kod QR atau MySejahtera.

Meskipun kerajaan memberi jaminan bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh PKP, ada anggota masyarakat masih berpegang ‘sediakan payung sebelum hujan’ dengan berbelanja besar terlebih dahulu bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Secara tidak langsung, pembelian panik itu mencetuskan pembaziran makanan besar-besaran. Makanan tidak boleh disimpan lama berakhir di tapak pelupusan sampah.

Buktinya, gambar tular di media sosial ketika PKP mengenai pembuangan bungkusan roti masih belum disentuh namun tamat tempoh, mencetuskan kemarahan netizen kerana sikap individu pentingkan diri sendiri.

Menurut data 2019 Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sektor isi rumah menjana 44.5 peratus daripada sisa makanan di negara ini berjumlah 16,667.5 tan setiap hari secara keseluruhan.

Daripada jumlah itu, 4,005 tan atau 24 peratus daripada sisa makanan boleh dielakkan, iaitu masih elok dan boleh memberi makan kepada 2.97 juta orang untuk tiga kali makan setiap hari. Ketiadaan penganjuran bazar Ramadan, kenduri kahwin dan majlis keramaian ketika PKP akibat pandemik COVID-19, menjadi faktor penurunan kadar penghasilan sisa makanan ke tapak pelupusan sampah.

Selain itu, masyarakat juga semakin menghayati dan menghargai nilai makanan semasa PKP, sekali gus menyumbang kepada penurunan jumlah sisa secara drastik.

Di sekitar Lembah Klang misalnya, penghasilan sisa makanan terutama dari pusat komersial dan restoran turut berkurangan disebabkan waktu operasi pendek dan pergerakan terhad orang awam.

Menurut Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan Mohd Zahir Shari, penjanaan sisa makanan menurun sebanyak 26 peratus berbanding sebelum pelaksanaan PKP di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagi tempoh Mac dengan mengambil kira dua minggu sebelum PKP, purata janaan sisa pepejal ialah 2.1 tan sehari dan pada April selepas PKP dilaksanakan, purata janaan ialah 1.7 tan sehari, iaitu menurun 0.3 tan sehari.

“Selain pusat beli-belah dan restoran hanya menyediakan perkhidmatan ‘take away’, kebanyakan orang berada di rumah sepanjang hari, jadi apabila mereka memasak ataupun membungkus makanan dari luar, mereka akan menghabiskannya.

“Namun, apabila beralih daripada PKP kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), angka itu naik sedikit, iaitu antara 2.2 hingga 2.3 tan pada Jun serta Julai kerana pergerakan mula bebas, manakala sektor ekonomi pulih seperti sedia kala,” katanya.

Mohd Zahir berkata, hidangan bufet di restoran dan hotel antara penyumbang terbesar sisa makanan ke tapak pelupusan saban tahun.

“Atas hikmah PKP, menurut kajian komposisi sisa kami, purata janaan sisa makanan semasa Ramadan dan PKP 2020 berkurang sebanyak 40.9 peratus berbanding 2019. “Justeru, kita mengharapkan rakyat mengambil iktibar apa yang berlaku dengan berusaha mengambil inisiatif dan sedar pengurangan sisa pepejal boleh dijayakan dengan kawalan kendiri serta perubahan sikap,” katanya.

Sisa makanan boleh dikategorikan kepada dua jenis, iaitu boleh dielakkan dan tidak boleh dielakkan.

Sisa makanan boleh dielakkan ialah makanan dibazirkan dan tidak boleh dihabiskan serta mempunyai tarikh luput atau tercemar, manakala sisa makanan tidak boleh dielakkan ialah sisa dapur seperti kulit buah dan tulang.

Bagi sisa makanan tidak boleh dielakkan, ia sebenarnya boleh dikomposkan menjadi baja untuk tanaman di rumah ataupun kebun.

“Kami bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat konsesi Alam Flora untuk pengkomposan sisa makanan yang tidak boleh dielakkan itu dalam mesin Anaerobic Digestor untuk menghasilkan baja.

“Anaerobic Digestor yang boleh memuatkan hingga 50 kilogram sisa makanan itu kini ditempatkan di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di Presint 5, Putrajaya, ” katanya.

Mohd Zahir berkata, pihaknya menggalakkan penduduk di sekitar untuk memanfaatkan kemudahan itu dengan mengasingkan sisa makanan ke dalam mesin itu.

“Bukan semua makanan luput tarikhnya tidak boleh dimakan langsung jika disimpan dengan cara betul.

“Misalnya, roti sudah hampir luput tarikhnya boleh disimpan di dalam penyejuk beku yang boleh bertahan hingga tiga bulan dan boleh dipanaskan atau digoreng,” katanya.

Mohd Zahir berkata, menerusi kempen kesedaran seperti ‘MYSaveFood’, selain mendidik pengguna supaya tidak membazirkan makanan, pihaknya turut ‘menyelamatkan’ makanan daripada menjadi sisa buangan restoran, gerai serta medan selera untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Kami bercadang mengadakan program ini setiap musim perayaan namun disebabkan PKP, ia tidak dapat dijalankan secara fizikal, melainkan menerusi hebahan dan perkongsian media sosial.

“Tahun lalu, sebanyak 2,385.6 kilogram makanan di Wilayah Persekutuan berjaya ‘diselamatkan’ daripada menjadi sisa buangan gerai bazar Ramadan terpilih,” katanya.

Selain restoran dan isi rumah, pasar raya serta pasar borong turut menyumbang kepada pembaziran makanan organik besar-besaran apabila lebihan makanan tidak habis dijual terpaksa dilupuskan.

Justeru, Yayasan Foodbank Malaysia dengan kerjasama beberapa NGO lain serta pasar raya berusaha ‘menyelamatkan’ lebihan makanan ini daripada dibuang begitu sahaja, sebaliknya disalurkan kepada golongan sasar dalam kalangan penghuni PPR, rumah kebajikan serta warga gelandangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Wahab Long, berkata pihaknya mengumpul lebih 1,000 kilogram makanan yang selamat dan masih boleh dimakan setiap hari daripada hotel, pasar raya serta kilang makanan untuk disumbang kepada golongan miskin dan gelandangan di sekitar Lembah Klang.

“Di pasar borong misalnya, banyak sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan mentah lain masih elok untuk dimakan tetapi dibuang kerana tidak habis dijual, sekali gus mengundang pembaziran.

“Justeru, kami turun padang untuk ‘menyelamatkan lebihan makanan ini daripada berakhir di tapak pelupusan sampah, sama ada digunakan untuk memasak kepada golongan memerlukan ataupun menyalurkan kepada golongan asnaf dan rumah kebajikan,” katanya. Selain itu, barangan harian dan makanan kering yang sudah dekat dengan tarikh luput turut ‘diselamatkan’ untuk disalurkan sebagai bantuan makanan kepada mahasiswa terkandas di kampus sepanjang tempoh PKP.

“Penghasilan sampah begitu banyak akibat daripada sisa pepejal industri mahukan makanan akan menghasilkan gas karbon memudaratkan kesihatan sejagat.

“Oleh itu, kami bukan sahaja menyelamatkan makanan masih boleh dimakan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan tetapi turut membantu mengembalikan bumi hijau dengan mengurangkan sampah,” katanya.

Ab Wahab berkata, pihaknya turut mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan ‘Bulan Foodbank Kebangsaan’ bermula tahun ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk tidak melakukan pembaziran makanan setiap hari.

“Foodbank Malaysia ditubuhkan sejak Januari 2019 dengan misi utama mengurangkan pembaziran makanan dan menangani masalah kebuluran serta kekurangan nutrisi menerusi menyelamatkan makanan lebihan.

“Lebihan makanan daripada operator makanan, pengusaha industri makanan, pengilang atau pengeluar makanan, pasar raya besar dan sederhana, pengimport makanan serta pemborong bahan makanan dengan status halal akan kami selamatkan.

“Sebenarnya makanan dikumpul ialah lebihan produk seperti makanan sejuk beku, ramuan dan bahan mentah serta produk bermusim masih elok, tetapi mungkin disebabkan kesilapan label, dipulangkan pelanggan tetapi mereka tidak boleh menjualnya semula,” katanya.

Setakat ini, Foodbank Malaysia berjaya membantu sebanyak 622,726 isi rumah; 77,251 mahasiswa daripada 195 universiti seluruh negara sejak ditubuhkan tahun lepas hasil daripada makanan diselamatkan. – BERNAMA

Kredit – Berita Harian
Share to others!
Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on google
Google+
Share on whatsapp
WhatsApp