YFBM, MRA jalin kerjasama agih bantuan lebih terancang

Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) mengumumkan jalinan kerjasamanya dengan Malaysian Relief Agency (MRA), dalam usaha mewujudkan agihan bantuan makanan dan minuman secara sistematik dan terancang.

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif YFBM, Ab Wahab Long dan Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman, semalam. MoU itu sekali gus menjadikan MRA sebagai sebahagian daripada rangkaian bank makanan di Malaysia. Ab Wahab berkata, kerjasama antara kedua-dua badan itu diyakini memperkasa usaha pengagihan bantuan melalui perkongsian sumber dan kepakaran masing-masing, khususnya daripada segi fasiliti, logistik, sukarelawan dan bidang ilmu. “Apabila rangkaian antara badan bukan kerajaan (NGO) kukuh, pihak penyumbang akan lebih yakin untuk memberikan amanah dan sumbangan untuk agihan.

“Ketika ini, lebih 4,000 tan makanan yang masih elok dibuang setiap hari dan YFBM ditubuhkan bagi menyelamatkan makanan itu, di samping memenuhi permintaan keperluan bantuan makanan. “Tahun ini juga wujudnya Akta Perlindungan Penderma Makanan yang memberi jaminan kepada penyumbang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Sementara itu, Dr Mohd Daud teruja dengan kerjasama antara MRA dan YFBM dengan matlamat mengelakkan pembaziran sumber makanan asas, seperti makanan kering dan basah tempatan.

“Kerjasama ini bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu dengan menumpukan agihan makanan basah dan pek makanan di beberapa lokasi di Lembah Klang. “Setakat ini, MRA sudah mengagihkan barangan makanan asas bernilai RM2.2 juta yang disumbangkan rakyat Malaysia, sama ada individu, agensi atau badan korporat, kepada asnaf, Orang Asli, miskin bandar, orang kurang upaya (OKU) dan pelarian. “Barang bukan makanan, khususnya peralatan perubatan bernilai lebih RM6 juta juga sudah disumbangkan kepada hospital, pejabat kesihatan daerah dan negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelbagai agensi kerajaan terpilih,” katanya.
Share to others
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram